
SIARAN MEDIA
Seremban, 16 Jun 2025 – Satu langkah signifikan dalam memperkukuh kerjasama antara sektor pertanian dan komuniti veteran telah tercapai hari ini apabila Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan MARDI Corporation Sdn Bhd (MARDICorp) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bertempat di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan.
Majlis menandatangani MoU ini telah disempurnakan oleh Kapt. Datuk Sharuddin bin Hj Omar (Bersara), Presiden PVATM dan Tuan Haji Norhalim Sirome, Pengerusi MARDICorp, yang mewakili kedua-dua organisasi dalam usaha memperkukuh sinergi ke arah pembangunan komuniti veteran yang lebih mapan serta memperluas impak inisiatif pertanian negara.
MoU ini menandakan permulaan kerjasama strategik selama dua tahun yang memberi fokus kepada pelaksanaan program bersama, perkongsian pengetahuan dan kepakaran, penggunaan bersama infrastruktur serta promosi dan penyebaran maklumat berkaitan inisiatif yang akan datang.
Tuan Haji Norhalim Sirome berkata,
“Ini adalah satu usaha murni bagi memastikan sektor pertanian negara terus mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan veteran. MARDICorp sentiasa terbuka untuk menjalin kolaborasi strategik bersama sektor kerajaan mahupun swasta dalam usaha mengangkat industri pertanian ke peringkat nasional.”
MoU ini turut menetapkan mekanisme penyeliaan dan penilaian berkala bagi memastikan objektif bersama tercapai serta setiap inisiatif yang dilaksanakan mencapai keberkesanan maksimum.
Kerjasama ini bukan sahaja simbolik, malah membawa harapan baharu dalam memperkasa golongan veteran sebagai aset negara dan rakan strategik dalam membina masa depan sektor pertanian Malaysia yang mampan.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
📩 hakimiasari@mardicorp.my
Ketua Unit Komunikasi Korporat
MARDI Corporation Sdn Bhd




