
Pulau Pinang, 27 September 2025 – MARDICorp telah menyertai Majlis Pertukaran Dokumen bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) sempena Persidangan S-GLC Negeri Pahang 2025 yang berlangsung di Bertam Resort & Water Park, Pulau Pinang.
Pertukaran Dokumen ini melibatkan kerjasama jangka panjang dalam pembangunan Projek Agro Madani di Tanjung Batu, Pekan, Pahang. Antara fokus utama projek ini ialah memperkukuhkan tanaman kelapa di Negeri Pahang, selaras dengan usaha menyokong projek kelapa nasional, khususnya varieti Kelapa Matag dan Kelapa Pandan.
Kerjasama ini dijangka akan berjalan selama 30 tahun, dengan keluasan kawasan penanaman sekitar 450 ekar. Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan sektor agro makanan negara, malah berpotensi meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat.
Bagi pertukaran Dokumen ini, MARDICorp diwakili oleh Encik Hazwan Hussein, Ketua Pegawai Operasi (COO), manakala PKNP diwakili oleh Dato’ Mohd Faizal bin Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Pihak PVATM pula turut hadir yang diwakili oleh kepimpinan persatuan.
“Perlaksanaan projek ini akan menjadi titik tolak untuk MARDICorp muncul sebagai peneraju utama dalam industri kelapa negara. Satu langkah strategik ke arah mengurangkan kebergantungan negara terhadap import kelapa.” – Hazwan Hussein, Ketua Pegawai Operasi (COO), MARDICorp.
Sebagai rakan strategik, MARDICorp yakin kolaborasi ini akan memperkukuhkan pembangunan sektor agro Madani di negeri Pahang, di samping memberi nilai tambah kepada agenda keselamatan makanan negara.
Untuk Maklumat Media:
Unit Komunikasi Korporat MARDICorp


