
Kuala Lumpur, 9 Oktober 2025 – National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2025 membuka tirai dengan penuh gemilang di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), penyertaan pelbagai agensi, institusi penyelidikan dan industri teknologi, termasuk MARDI Corporation Sdn. Bhd. (MARDICorp) dalam memperkasa inovasi serta pengkomersialan teknologi tempatan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, diiringi oleh YB Dato’ Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, serta Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI. Turut hadir YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, sebelum berangkat ke Putrajaya bagi menyambut lawatan rasmi Perdana Menteri Pakistan.
Dalam ucapan perasmian, YAB Timbalan Perdana Menteri memaklumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM350 juta di bawah Dana PEMACU (RMK-12) bagi penyelidikan pembangunan eksperimental, dengan 158 projek telah menerima pembiayaan berjumlah RM331 juta setakat Ogos 2025. Inisiatif ini dilihat sebagai pemangkin kepada pengukuhan ekosistem inovasi dan pengkomersialan di Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada ekosistem inovasi kebangsaan, MARDICorp memainkan peranan strategik dalam membawa hasil penyelidikan ke pasaran, khususnya dalam bidang agromakanan dan teknologi lestari. Melalui kerjasama erat bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), MARDICorp kini memberi tumpuan kepada pembangunan serta pengkomersialan teknologi Black Soldier Fly (BSF) sebagai penyelesaian inovatif dalam pengurusan sisa organik dan sumber protein alternatif untuk industri ternakan.
“Inisiatif ini membuka ruang baharu dalam pengkomersialan teknologi BSF di Malaysia, khususnya dalam sektor agromakanan dan sisa organik. Ia juga merangkumi kerjasama dengan MARDI dalam kajian pembangunan dedak ayam berasaskan BSF sebagai sumber protein alternatif yang mampan. Usaha ini bakal menyumbang kepada inovasi industri ternakan dan kelestarian alam sekitar.” Hazwan Hussein – Ketua Pegawai Operasi (COO), MARDICorp
Penyertaan MARDICorp dalam NICE 2025 bukan sahaja memperkukuh kehadiran syarikat sebagai peneraju dalam pemindahan teknologi dan inovasi agro, tetapi juga mencerminkan aspirasi syarikat untuk terus menyokong agenda inovasi nasional ke arah Malaysia MADANI yang berdaya saing, lestari dan berimpak global.
Untuk Maklumat Media:
Unit Komunikasi Korporat MARDICorp


