
Kajang, 11 Ogos 2025 – KPJ Kajang Specialist Hospital dengan kerjasama MARDICORP, anak syarikat di bawah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), hari ini melancarkan projek KPJ Kajang @ Green Balcony, sebuah inisiatif inovatif pertanian bandar yang menggabungkan teknologi hidroponik dan sistem Green Kit – Self Watering Container ciptaan MARDI.
Projek ini bertujuan memberi inspirasi kepada masyarakat bandar, khususnya pesakit, pelawat, dan komuniti sekitar hospital, untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui penanaman sayur-sayuran sendiri walaupun di ruang yang terhad seperti balkoni kediaman atau pejabat. Antara matlamat utama projek ini adalah meningkatkan kesedaran tentang gaya hidup sihat, memupuk amalan lestari selaras dengan prinsip Environmental, Social & Governance (ESG), serta mengoptimumkan penggunaan ruang terhad di kawasan bandar untuk aktiviti pertanian mesra alam.
Selain dilaksanakan di KPJ Kajang, inisiatif ini turut membuka peluang kepada rangkaian hospital KPJ di seluruh negara untuk mengadaptasi konsep serupa. Langkah ini diharap dapat memperluas impak positif terhadap kelestarian alam dan kesejahteraan komuniti di bawah jagaan hospital-hospital KPJ.
Ketua Pegawai Eksekutif MARDICORP, En Hazwan Hussein , berkata,
“Green Kit – Self Watering Container adalah hasil inovasi MARDI yang memudahkan penanaman sayuran di kawasan terhad tanpa memerlukan penjagaan yang rumit. Kami percaya kolaborasi bersama KPJ Kajang ini menjadi contoh terbaik sinergi teknologi pertanian dengan industri penjagaan kesihatan.”
Melalui gabungan teknologi pintar dan semangat kelestarian, KPJ Kajang @ Green Balcony diharap menjadi langkah permulaan kepada sistem penjagaan kesihatan yang lebih inklusif, mampan, dan mesra alam, selari dengan aspirasi negara menuju pembangunan hijau.
