
MAEPS terus mencuri tumpuan sebagai lokasi acara utama apabila lebih 96% pengunjung menyatakan kepuasan terhadap pengalaman mereka sepanjang berlangsungnya SHOWTECH MARDI 2025 yang berakhir semalam.
Kaji selidik yang dijalankan di Booth MARDICorp sepanjang acara berlangsung dari 29 Mei hingga 2 Jun 2025 mendapati hampir kesemua responden berpuas hati dalam aspek keseluruhan pengalaman, kebersihan, susun atur, serta aktiviti dan pameran yang ditawarkan.
Sebanyak 80.2% memberikan penarafan maksimum (5 bintang) terhadap pengalaman mereka di MAEPS, manakala 16.3% lagi memberikan 4 bintang. Tahap kepuasan terhadap kebersihan dan susun atur juga tinggi, dengan 97.7% responden menilai sebagai baik dan sangat baik.
Aktiviti dan pameran oleh MARDICorp mendapat sambutan luar biasa lebih 97% responden menyatakan puas hati, membuktikan program yang dirangka benar-benar memenuhi jangkaan pengunjung.
Kaji selidik juga menunjukkan bahawa media sosial merupakan sumber utama maklumat kepada pengunjung dengan 50.6% mengetahui tentang acara melalui Facebook, Instagram dan TikTok. Manakala 32.9% pula hadir atas maklumat daripada rakan dan keluarga, membuktikan kekuatan promosi digital dan kesan ‘word of mouth’.
MAEPS berjaya menarik pelbagai kategori pengunjung. Golongan profesional muda berumur 26–35 tahun mencatat kehadiran tertinggi (26.7%), diikuti oleh golongan berkeluarga (36–45 tahun) sebanyak 25.6%. Kehadiran dari semua lapisan umur menunjukkan daya tarikan MAEPS yang inklusif dan mesra pelawat.
Menariknya, 69.8% adalah pengunjung berulang, manakala 30.2% merupakan kali pertama ke MAEPS, menandakan peningkatan pengaruh dan daya tarikan destinasi ini.
Kejayaan SHOWTECH MARDI 2025 jelas membuktikan bahawa MAEPS bukan hanya lokasi penganjuran, tetapi kini menjadi ruang interaksi, pengetahuan dan pengalaman agro-teknologi untuk semua peringkat masyarakat.
Hasil kaji selidik ini memberi gambaran bahawa strategi promosi dan pendekatan program yang diterapkan oleh MARDICorp semasa pameran membuahkan hasil yang cemerlang dan wajar diteruskan.





